PPPY1262 Sejarah dan Tamadun Islam
Kursus ini bertujuan meneliti secara menyeluruh setiap aspek utama
sejarah dan tamadun Islam di pelbagai negara dan kerajaan Islam, terutama di
Timur Tengah, Asia Tengah, Mesir dan Andalus. Perbincangan dimulakan dengan
Sirah Nabi Muhammad (s.a.w.) termasuk semua peristiwa penting dalam kehidupan
baginda dengan mengambil kira penulisan dan pandangan sejarawan awal dan
sarjana moden. Perbincangan selanjutnya menumpukan beberapa isu-isu penting
yang berlaku dalam era Khulafa’ al-Rasyidin yang bermula dengan
pelantikan Abu Bakr b. Abi Qahafah (r.a.) sebagai khalifah pertama pada tahun
11H/632M. Seterusnya, kursus ini membincangkan sejarah dan tamadun umat Islam
di pelbagai negara dan kerajaan Islam yang muncul sepanjang tempoh lebih kurang
empat ratus tahun bermula dengan Kerajaan Banu Umayyah pada tahun 41H/661M
sehingga pertengahan abad ke-20M, ketika kebanyakan wilayah pemerintahan Islam
dijajah kuasa Eropah. Di samping itu juga, kursus ini meliputi perkembangan dan
perubahan yang dialami oleh masyarakat Islam sepanjang tempoh tersebut dalam
bidang politik, pentadbiran, sosial dan ekonomi, termasuk perkembangan tamadun
Islam.
PPPY1012 Bahasa Arab Praktikal
Kursus ini membimbing pelajar mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Arab secara praktikal untuk komunikasi harian. Pelajar mampu berkomunikasi, berinteraksi dan bertukar maklumat peribadi dengan rakan, guru dan penutur asli sama ada secara terus atau melalui media sosial. Pelajar mampu menggunakan bahasa Arab dalam aktiviti harian. Pelajar dibimbing untuk meningkatkan kecekapan morfologi dan sintaksis bagi membantu komunikasi. Kursus ini menggunakan pendekatan berpusatkan pelajar dan memanfaatkan internet bagi menyokong kemahiran bahasa Arab pelajar.
PPPY1162 Fiqh Ibadat & Munakahat
Kursus ini merupakan pengantar kepada pengajian fiqh dalam dua bahagian iaitu ibadat dan munakahat. Bahagian ibadat menyentuh ibadat umum dan khusus seperti sembahyang, puasa, zakat, dan haji serta persoalan berkaitan dengan ibadat-ibadat tersebut. Manakala bahagian munakahat pula menyentuh pertunangan, perkahwinan, mas kahwin, perceraian, fasakh, khulu', ila', zihar, kesan perkahwinan seperti nafkah dan hadanah, rujuk dan perkara-perkara yang berkaitan. Penekanan kursus ini akan diberikan kepada mazhab Shafie.
PPPH1013 Pengantar Falsafah
Kursus ini diperkenalkan sebagai pengenalan asas kepada kepada disiplin ilmu falsafah. Penekanan kursus ditumpukan kepada kepada empat komponen utama iaitu:
- Pertamanya difokuskan kepada pengertian falsafah dari aspek etimologi dan pelbagai sudut pandangan ahli falsafah dari pelbagai latar belakang sejarah dan geografi. Juga tumpuan diberikan kepada signifikan subjek falsafah dan metodologi pengkajian falsasah.
- Komponen kedua, subjek ini meneroka sejarah dan tabii falsafah klasik Greek bermula daripada era praSocrates, zaman Socrtaes terutamanya falsafah Plato, Aristotle seterusnya menyelongkari falsafah Neo-Platonisme, Abad Pertengahan, Zaman Moden dan berakhir dengan pascamoden.
- Komponen ketiga memfokuskan kepada persoalan atau subjek teras dalam falsafah iaitu metafizik, epistemologi, etika, falsafah agama, falsafah politik dan kemanusiaan.
- Komponen terakhir memfokuskan kepada Falsafah Islam yang meliputi biografi, karya dan failasof Islam di dunia Timur dan Barat.
PPPY1182 Akidah Islam
Kursus ini akan menganalisa persoalan-persoalan yang berkaitan dengan keperluan manusia kepada agama yang benar. Begitu juga ia menyentuh secara terperinci perbincangan mengenai ketuhanan, kenabian dan sam’iyyat.